Total Pageviews

Saturday, 16 February 2013

Penyampaian Bantuan Khas Kebajikan Kepada Ahli



Salah satu keputusan yang telah diluluskan dalam mesyuarat AJK Pusat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pada hujung tahun lalu ialah meluluskan bantuan khas kebajikan untuk 4 orang ahli biasa PERTIS. Setiap penerima akan diberi bantuan sebanyak RM500.00 seorang. Bantuan khas tersebut diberikan setelah mempertimbangkan kesukaran hidup yang dihadapi oleh setiap ahli berkenaan.Manakala sumber bantuan pula diambil daripada tabung PERTIS sendiri.


Pada 24 Januari 2013 (Khamis) lalu, Yang Di-Pertua PERTIS dengan disertai oleh Naib Yang Di-Pertua, En.Zamzuri dan Pengerusi Biro Kebajikan Dan Khidmat Komuniti PERTIS, En.Hasbullah Junus telah melakukan kunjung ziarah ke rumah En.Aziz Syarif di Brickfields.





En.Aziz Syarif merupakan salah seorang ahli biasa PERTIS. Akibat penyakit kencing manis, sebelah kakinya telah dipotong pada pertengahan tahun lalu. Kini En. Aziz hidup dengan menumpang ihsan daripada rakan-rakan serumah.Beliau juga tidak mempunyai sebarang pekerjaan.





Dalam kunjung ziarah tersebut, Yang Di-Pertua PERTIS telah menyampaikan sendiri bantuan berkenaan dan ia telah diterima sendiri oleh En. Aziz. Ternyata En. Aziz begitu gembira dengan bantuan yang diterimanya.





Manakala pada 3 Februari 2013 (Ahad) pula, En.Zamzuri Ghani selaku Naib Yang-Dipertua (NYDP) PERTIS dengan disertai oleh En.Hasbullah Junus selaku AJK Biro Kebajikan Dan Khidmat Komuniti PERTIS telah menyampaikan pula bantuan yang serupa kepada En. Beseri Ahmad. Penyampaian bantuan telah berlangsung di rumah En. Beseri Di Flat Seri Selangor, Kuala Lumpur.





En. Beseri juga merupakan penghidap sakit kencing manis tegar. Beliau masih bernasib baik kerana kakinya masih belum di tahap perlu dipotong.




Pada masa sama, En. Beseri juga turut menjalani rawatan sakit buah pinggang 3 kali seminggu.




Pada 11 Februari pula, YDP PERTIS telah menyampaikan bantuan yang serupa dan kali ini ia telah disampaikan kepada En. Yusiran bin Ahmad. Penyampaian bantuan berkenaan telah diadakan di rumah En. Yusiran di Jasin, Melaka.





En. Yusiran merupakan penghidap sakit kencing manis. Gara-gara penyakitnya, sebelah kakinya terpaksa dipotong.Kini beliau dijaga oleh keluarganya.En.Yusiran tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.


Pada 15 Februari 2013 pula, Cikgu Musa selaku Pengerusi PERTIS Kedah beserta En.Bakari (Bendahari PERTIS Kedah) dan Pn. Sabariah (AJK PERTIS Kedah) telah menziarahi Pn. Rabiah Basir di Hospital Sultanah Bahiah, Alor Star untuk menyampaikan batuan serupa bagi mewkili PERTIS Pusat.Pelbagai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Pn. Rabiah mengakibatkan beliau terlantar di hospital.Beliau hanya dijaga oleh kedua-dua orang anaknya.


Rasa gembira yang tidak terkata jelas tergambar pada setiap wajah penerima bantuan berkenaan. Walaupun ia tidak dapat memenuhi kesemua keperluan para penerimanya, senyuman yang terukir pada setiap wajah penerima membuatkan yang masih bernasib baik akan bersyukur dengan nikmat yang masih belum hilang.


Mudah-mudahan dengan sedikit bantuan yang telah disampaikan, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban hidup yang ditanggung oleh ahli berkenaan. Ia juga sebagai tanda keprihatinan PERTIS kepada ahlinya yang sedang ditimpa bencana.










Sunday, 3 February 2013

Sambutan Maulidul Rasul Peringkat PERTIS Pahang



Pada 3 Februari 2013 (Ahad), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Pahang telah menganjurkan majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat PERTIS Pahang. Majlis sambutan telah berlangsung di pejabat PERTIS Pahang, iaitu di Mambang Brulang, Mentakab.




Majlis sambutan yang telah bermula pada jam 10.30 pagi, telah berakhir pada jam 1.30 tengah hari. Selain daripada ahli-ahli PERTIS Pahang, majlis sambutan kali ini turut dihadiri oleh beberapa orang ahli PERTIS dari Kuala Lumpur.








Majlis telah dimulakan dengan selawat beramai-ramai. Seterusnya majlis telah diteruskan dengan bacaan doa dan juga bacaan ayat suci Alquran.





Majlis maulidul Rasul peringkat PERTIS Pahang kali ini telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertua PERTIS Malaysia, cikgu Zakaria Yahya.








Selesai ucapan dan perasmian, majlis telah diteruskan dengan acara diskusi ilmu. Segmen ini telah dikendalikan oleh Ustaz Hamdan Yusi Yusuf dan juga Ustaz Abdul Aziz Mohd Salleh. Kedua-duanya daripada Jabatan Agama Islam Pahang, pejabat Kuantan. Segmen ini telah mendapat perhatian yang cukup baik daripada para hadirin. Ia mugkin kerana kedua-dua pengendali segmen ini merupakan tokoh yang cukup berpengalaman dalam mengendalikan diskusi ilmu seperti ini.





Majlis kali ini telah diakhiri dengan jamuan tengah hari.


Adalah diharapkan semoga penganjuran majlis seperti ini akan menambahkan lagi kecintaan kita terhadap junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W.


Pihak penganjur tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan memberikan kerjasama dalam melancarkan perjalanan majlis berkenaan.









Saturday, 2 February 2013

PERTIS Terima Anugerah Maulidul Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan




Pada 31 Januari 2013 (Khamis), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menerima anugerah khas bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul S.A.W. peringkat /Wilayah Persekutuan. Majlis penganugerahan tersebut telah disampaikan bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul S.A.W. peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Majlis telah berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur.








Tetamu kehormat dalam majlis berkenaan ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Razali Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Modal Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mewakili Yang Berbahagia Datuk Haji Osman Mustafa, Ketua Pengarah JAKIM. Tetamu kehormat lain termasuklah Yang Berbahagia Datuk Che Mat Che Ali, Pengarah JAWI serta para pegawai kanan JAWI.








Majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat Wilayah Persekutuan kali ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Razali Shahabuddin yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM. Majlis turut diserikan dengan forum ehwal Islam yang dibarisi oleh 2 ahli panel. Selain itu, ia turut diserikan dengan persembahan daripada Iwan dengan lagu-lagu kerohanian yang mengasyikkan.














Dalam majlis tersebut, PERTIS satu-satunya pihak yang telah diberikan anugerah berkenaan. Anugerah telah disampaikan oleh Tuan Haji Razali Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Modal Insan JAKIM. Manakala Yang Di-Pertua PERTIS, Cikgu Zakaria Yahya telah menerimanya bagi pihak PERTIS. Sebagai penerima anugerah, PERTIS telah dianugerahkan piala iringan, sijil serta wang tunai RM10,000.00.


Seluruh barisan kepimpinan serta para ahli PERTIS ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah di atas penganugerahan ini. Kami juga ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada pihak JAWI yang telah memilih PERTIS sebagai penerima anugerah khas kali ini. Selain itu, kami juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pihak dan individu yang telah memberi bimbingan kepada PERTIS sehingga dianugerahkan sebagai NGO cemerlang.


Sesungguhnya penganugerahan ini amat bermakna sekali kepada PERTIS. Ia juga merupakan satu motivasi kepada seluruh barisan kepimpinan PERTIS untuk bekerja dengan lebih keras lagi demi meninggikan lagi syiar Allah di muka bumi ini, insha-Allah.