Total Pageviews

Wednesday, 14 March 2012

MOU PERTIS – USIM



            Pada 12 Mac lalu satu majlis menandatangani Memorandum Of Understanding (MOU) di antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berlangsung.  Majlis telah berlangsung di bangunan Canselori USIM di Nilai, Negeri Sembilan. 

            PERTIS telah diwakili Yang Di-Pertuanya, Cikgu Zakaria Yahya.  Manakala pihak USIM telah diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Muhammad Muda.

            Turut menyertai delegasi PERTIS termasuklah Yang Berbahagia Datuk Zamani Sulaiman selaku penasihat PERTIS serta Pn. Sariyah Nordin yang merupakan AJK Pusat PERTIS.  Datuk Zamani turut berperanan sebagai saksi bagi pihak PERTIS dalam majlis penandatanganan tersebut.

            Mou ini sangat penting khususnya bagi PERTIS. Selain merupakan pengiktirafan yang diterima oleh PERTIS daripada sebuah Institusi pengajian tinggi seperti USIM, ia membuktikan bahawa peranan PERTIS selama ini yang sentiasa berusaha untuk memartabatkan Alquran Braille serta tulisan Jawi Braille sudah mula mendapat perhatian daripada pihak lain.  Selain itu, jalinan kerjasama ini juga akan merintis jalan ke arah kerjasama dalam bidang penyelidikan, perkongsian maklumat serta penghasilan bahan bacaan bermanfaat khasnya dalam bidang keagamaan (Islam) demi manfaat golongan yang cacat penglihatan.  Kehadiran Prof. Datuk Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM jelas menunjukkan sokongan padu beliau serta pihak tertinggi USIM dalam merealisasikan hasrat murni kedua-dua belah pihak.

            Sebenarnya, sebelum ini pun telah wujud kerjasama antara PERTIS dengan USIM sejak beberapa tahun lalu.  PERTIS telah memberikan kerjasama erat khususnya kepada Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) dalam menyemak bahan-bahan yang telah ditranskripsikan ke dalam bentuk tulisan Braille oleh para penuntutnya.  Di samping itu, pihak berkenaan juga ada meminta pandangan daripada PERTIS bagi memantapkan lagi penyelidikan yang berkaitan dengan Braille yang telah pun dilaksanakan di USIM sejak beberapa tahun sebelum ini.  Jadi, penandatanganan MOU siang tadi merupakan usaha berterusan ke arah mengukuhkan jalinan hubungan yang telah sedia ada antara kedua-dua belah pihak.

            Selain itu, dalam majlis yang sama juga, USIM turut menandatangani MOU bersama-sama dengan pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM).  Kemampuan UTM khususnya Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dalam penghasilan Panel Quran Braille Electronic mungkin telah menarik minat USIM untuk turut bekerjasama bagi memantapkan bidang penyelidikan serta perkongsian ilmu khususnya yang berkaitan teknologi Braille. 

            Salah satu bahan bacaan yang telah berjaya ditranskripsikan sepenuhnya ke dalam bentuk tulisan Braille ialah Iqra’.  Untuk maklumat bersama, buku ini telah diusahakan oleh para penuntut USIM dengan pemantauan rapi daripada para tenaga pengajarnya yang berkemahiran.  Selain itu, penghasilan buku ini juga telah mendapat kerjasama erat daripada PERTIS selaku penyemak dan pencetak (untuk versi Braille).

            Apa yang manisnya, penerbitan buku Iqra’ Braille ini juga turut mendapat sokongan daripada penerbit asalnya, Darul Fikir.  Untuk maklumat bersama, pihak Darul Fikir telah mengeluarkan kebenaran bertulis kepada PERTIS untuk menerbitkan buku berkenaan ke dalam versi Braille.  Justeru, tidak hairanlah pengarah Darul Fikir, Datuk Mohd Zaki Ahmad juga turut hadir dalam majlis siang tadi.

            Sebagai simbolik penghasilan serta penggunaan buku berkenaan ke dalam bentuk tulisan Braille, 3 naskah buku berkenaan turut disampaikan kepada 3 buah sekolah, iaitu SKPK Princess Elizabeth, SKPK Seremban serta SKPK Jalan Batu, Kuala Lumpur.  Penyampaian telah disempurnakan oleh Prof. Datuk Dr. Muhammad Muda.

Monday, 12 March 2012

Pengumuman Minggu Ini

TeleMaklumat PERTIS (12 Mac 2012)

                Inilah talian maklumat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), membawakan pengumuman-pengumuman untuk minggu yang bermula pada 12 Mac 2012, bersamaan 19 Rabi’ul-Akhir 1433 Hijrah.

Sila ambil maklum, semua pengumuman yang ingin diumumkan menerusi talian maklumat ini hendaklah tiba ke peti e-mail atau ke peti SMS YDP PERTIS selaku penyelaras talian maklumat ini selewat-lewatnya pada jam 8 malam setiap hari Ahad.  Kami mohon berbanyak maaf kerana pengumuman yang tiba lewat daripada masa yang telah ditetapkan tidak dapat dimuatkan ke dalam kandungan pengumuman pada minggu berikutnya.  Segala kerjasama daripada semua pihak didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.


1.       KURSUS PENYELENGGARAAN JENAZAH PERTIS/MASJID NEGARA

Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli/bukan ahli yang telah menghadiri program tersebut di atas yang diadakan baru-baru ini.  Semoga kita telah mendapat manfaat daripada aktiviti berkenaan. Sehubungan itu, PERTIS bagi pihak penganjur ingin memohon ribuan kemaafan di atas segala kekurangan, ketidaksempurnaan dan ketidaklancaran penganjuran aktiviti. Segalanya akan cuba diperbaiki dan diatasi demi faedah serta kemaslahatan para ahli Persatuan, “Insya’ Allah”. Sayugia diinbatkan bahawa sokongan moral dan dokongan padu daripada semua ahli adalah pemangkin ke arah kejayaan setiap aktiviti yang dikelolakan.

2.       Majlis Tahlil Bulanan.

Biro Kebajikan Dan Khidmat Komuniti PERTIS akan menganjurkan majlis tahlil bulanan pada 18 Mac 2012 (25 Rabi-‘l Akhir 1433) bersamaan hari Ahad bertempat di surau MAB bermula jam 12.00 tengah hari.  Sesiapa yang ingin menghadiri majlis berkenaan sila hubungi pengerusi Biro Kebajikan Dan Khidmat Komuniti PERTIS, Pn. Arilzoh Moktar di talian tangannya, 013-3929280.  Di samping itu, sesiapa yang ingin menyumbang atau berhajat untuk mengadakan majlis taahlil menerusi penganjuran PERTIS, anda juga dipersila untuk menghubungi Pn. Arilzoh Moktar di talian tangannya 013-3929280.

3.       PROGRAM TARBIYAH ANJURAN BIRO PEMBANGUNAN MUSLIMAH, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN ISLAM PERTIS MALAYSIA

Aktiviti tersebut di atas akan dianjurkan pada hari Sabtu, 15 Jamadil Awwal 1433 Hijrah bersamaan 7 April 2012 Masihi bermula jam 2.00 petang hingga jam 5.00 petang bertempat di Dewan Datuk Dr. Ismail bin Salleh, Kompleks MAB.  Penceramah undangan merupakan seorang tokoh wanita yang sering muncuk di pelbagai saluran media elektronik kerajaan mahupun swasta.  Kehadiran semua ahli dan bukan ahli PERTIS amatlah dialu-alukan.

4.       KURSUS PEMANTAPAN IBADAH DAN KEROHANIAN

4.1. PERTIS dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengendalikan kursus tersebut di atas pada hari Isnin dan Selasa, 17 hingga 18 Jamadil Awwal 1433 Hijrah bersamaan 9 hingga 10 April 2012 Masihi bertempat di Pusat pemantapan Aqidah, Jelebu, Negeri Sembilan Darul Khusus.  Bilangan peserta, 40 orang dan terbuka kepada ahli PERTIS sahaja.  Yuran penyertaan, RM10.00 seorang.  Pendaftaran Cuma dianggap sah selepas yuran penyertaan dilunaskan.

4.2. Para peserta diminta berkumpul di Kompleks MAB bermula jam 7.30 pagi, 9 April 2012.  Sarapan pagi disediakan di Kafetaria MAB bermula jam 7.45 pagi.  Bas dijangka bertolak sejurus kemudian.  Peserta dijangka pulang pada 10 April 2012 jam 5.30 petang.  Kursus ini dianggap sebagai kursus tahunan  bagi kakitangan awam.  Bagi tujuan pendaftaran atau sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan Ustaz Mohd Nasir di talian 019-3941441.  Ambil maklum bahawa pendaftaran bagi aktiviti-aktiviti tersebut akan ditutup sebaik sahaja bilangan peserta mencukupi.

5.       SIJIL PELBAGAI PROGRAM DAN AKTIVITI

5.1. Ibu Pejabat PERTIS mempunyai sijil-sijil bagi pelbagai program dan aktiviti yang masih belum dituntut oleh para peserta.  Antaranya, Sijil Seminar OKU Mapan yang diadakan pada 21 September 2011 dan Sijil Program Perhutanan yang diadakan pada 7 Disember 2011.  Sijil-sijil berkenaan telah dibawa ke lokasi program-program anjuran Persatuan, namun masih gagal dituntut oleh para peserta berkenaan.  Justeru, tindakan pelupusan akan dibuat pada akhir bulan April 2012 sekiranya ia masih tidak dituntut.

5.2. Dimaklumkan juga bahawa sijil Seminar Keluarga Sakinah PERTIS/JAWI yang diadakan pada 18 Februari 2012 sudah diperolehi dan boleh dituntut oleh para peserta.  Sementara itu, sijil Seminar Pemerkasaan Aqidah PERTIS/JAKIM masih dalam proses dan tindakan penyediaan oleh pihak Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM.  Justeru kerjasama daripada para peserta amatlah dipohon untuk bersabar dan tidak bertindak liar dengan menghubungi serta mengherdik pihak JAKIM.  Tindakan tersebut Cuma akan merugikan para ahli Persatuan sendiri dan menyukarkan PERTIS memperolehi tajaan penganjuran aktiviti pada masa-masa hadapan.  Ambil maklum bahawa Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM sanggup membatalkan penganjuran aktiviti lain yang lebih besar lagi berprestij dengan tujuan memberi laluan kepada pengelolaan seminar bersama PERTIS.  Di pihak lain, Pembantu Tadbir JAKIM terbabit terpaksa membuat, menyiap dan melaksanakan segala hal ehwal berkaitan seminar secara bersendirian termasuklah urusan penyediaan sijil penyertaan (di pihak urusetia JAKIM).

6.       BERITA DARIPADA IBU PEJABAT PERTIS MALAYSIA

6.1. Ibu Pejabat PERTIS akan dikunjungi oleh delegasi Fakulti Teknologi dan ICT, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu Darul Iman pada hari Selasa, 13 Mac 2012 bermula jam 8.30 pagi.  Tujuan utama lawatan adalah bagi maksud pengendalian Bengkel Pembangunan Laman Sesawang Persatuan.  Justeru, kerjasama daripada semua ahli dan bukan ahli PERTIS amatlah dipohon untuk menangguhkan sebarang urusan rasmi atau tidak rasmi kepada jam 2.00 petang.  Segala kesulitan amatlah dikesali serta dipohonkan ribuan kemaafan.

6.2. Dimaklumkan bahawa tempoh pembayaran dan penjelasan yuran tahunan 2012 telah dibuka kembali.  Sehubungan itu, ahli-ahli PERTIS adalah dinasihatkan untuk menjelaskan yuran tahunan 2012 masing-masing sebelum atau pada 10 Sya’ban 1433 Hijrah bersamaan 30 Jun 2012 Masihi.  Untuk rekod, yuran tahunan bagi Ahli Biasa ialah RM6.00 seorang, Ahli Bersekutu ialah RM3.00 seorang dan Ahli Tanggungan pula ialah RM1.00 seorang.  Sementara itu, yuran keahlian Ahli Seumur Hidup ialah RM50.00 seorang dengan syarat telah menjelaskan bayaran yuran tahunan semasa dan segala tunggakan yuran keahlian (jika ada).  Bagi sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan Setiausaha Agung di talian, 019-255 1232 atau Bendahari Kehormat di talian, 019-386 9700.

6.3. CD ceramah bertajuk “Indahnya Rawatan Islam”, “Program Maulidur Rasul PERTIS/JAWI 1433 Hijrah” dan lain-lain CD ceramah anjuran Persatuan telah sedia untuk tempahan serta jualan. Harga, RM5.00 1 keping CD. Bagi tempahan atau maklumat lanjut, sila berhubung dengan Tn. Hj. Muhammad Lee, Pembantu Penerbitan PERTIS di talian, 013-340 3045. Untuk mengelakkan sebarang kesulitan dan kekeliruan, sila berurusan dengan beliau sahaja.

6.4. Laman Sesawang PERTIS.

Atas sebab-sebab tertentu, laman sesawang PERTIS yang lama tidak dapat digunakan lagi.  Dengan itu, PERTIS telah membina laman sesawangnya yang baru.  Untuk itu, sila kunjungi www.pertis-malaysia.blogspot.com


7.      Seminar Tautan Mahabbah.

Persatuan Kebajikan Sahabat Insani (Sahabat Insani) akan menganjurkan seminar Tautan Mahabbah yang bertemakan ”Kepentingan Pendidikan Islam Tanggungjawab Bersama”.  Untuk maklumat bersama, Sahabat Insani merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan dengan matlamat asas untuk menyuburkan pendidikan agama, kebajikan dan dakwah dalam kalangan golongan istimewa (pekak, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran).  Antara pembentang kertas kerja dalam seminar berkenaan nanti ialah Dr. Mohd Zuhdi Marzuki dan Prof. Datuk Dr. Sidik Baba.  Seminar ini amat sesuai untuk golongan OKU, para ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU serta mereka yang mementingkan bidang pendidikan.  Seminar tersebut akan diadakan pada 25 Mac 2012 (Ahad) bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Syah, Shah Alam, Selangor Darul – Ehsan.  Untuk itu, PERTIS telah diperuntukkan 40 tempat.  Pengangkutan akan disediakan.  Tiada bayaran dikenakan kepada peserta.  Kepada yang ingin menghadiri seminar berkenaan, sila berdaftar dengan menghubungi Cik Intan Nur Fadhilah, kakitangan pentadbiran dan kewangan PERTIS, di talian 03-40212631 pada waktu pejabat.


8.      Pengumuman Daripada PKB

8.1    Persatuan OKU Penglihatan Bekerja Sendiri (PKB) akan mengadakan dialog bersama pemimpin pada 16 mac ini bertempat di Dewan Dr Ismail Salleh, Kompleks MAB, Brickfields,  jam 8 malam.semua dijemut hadir.  Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pengerusi PKB, Raja Zainuddin bin Raja Ghazali d nombor 0193013455.

8.2     PKB juga ada menyediakan bas untuk ke bangunan Majlis Peguam pada 17 March ini. Yuran yang dikenakan ialah rm10 tiap seorang. Tarikh tutup pembayaraan ialah pada 13 March. Jika anda berminat sila hubungi Raja Zainuddin bin Raja Ghazali di talian tangannya 0193013455.


Diselaraskan oleh

(Zakaria bin Yahya)
Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)

Sunday, 11 March 2012

Selamat Datang



            Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) ingin mengucapkan selamat datang kepada para pengunjung ke laman sesawang Persatuan ini.  Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada para pengunjung yang sudi melawat ke laman sesawang kami.  Laman sesawang ini merupakan kesambungan kepada laman sesawang lama yang tidak dapat lagi digunakan atas sebab-sebab tertentu.

            Kami akan mencuba sedaya-upaya untuk mengenengahkan pelbagai info mengenai persatuan ini menerusi laman sesawang ini demi manfaat dan faedah kita bersama, insha-Allah.

            Kami juga amat mengalu-alukan sebarang pandangan, ulasan, kritikan membina atau apa sahaja demi kebaikan kita bersama.

Sekian, terima kasih.